Friday, March 27, 2009

Menyambut Kelahiran Rasulullah saw

Soalan:

Apakah hukum menyambut kelahiran Rasulullah saw sama ada pada bulan Rabiul Awwal atau bulan-bulan yang lain?

Jawapan:

Sebelum menjawab soalan yang dikemukakan, perlu dinyatakan bahawa terdapat dua golongan yang mempunyai sikap tersendiri dalam masalah menyambut kelahiran Rasulullah saw.

Golongan pertama mengatakan bahawa sambutan kelahiran Rasulullah saw adalah suatu yang tidak pernah berlaku pada zaman sahabat dan juga zaman tabicin.

Manakala golongan kedua pula percaya bahawa menyambutnya adalah terdiri daripada sunnah yang patut dilakukan.

Hakikatnya ialah kedua-dua golongan tersebut adalah jauh daripada kebenaran. Ketiadaan sambutan hari kelahiran baginda saw di sisi golongan salaf tidaklah bermakna bahawa sambutan tersebut adalah bid’ah. Menyambutnya pula tidaklah bermakna kita menganggapnya sebagai suatu yang diperintahkan syarak. Tetapi ia adalah terdiri daripada perkara yang dibenarkan kita melakukannya, dengan syarat kita tidak mengiktiqadkan bahawa ia adalah sunat dan juga tidak berlaku sesuatu yang mengeluarkan kita daripada batasan petunjuk yang diajar oleh baginda saw sebagaimana berlaku pada kebanyakan sambutan-sambutan lain. Melalui majlis-majlis peringatan dan sambutan hari kelahiran Rasulullah saw juga kita boleh memperingati kembali dan mengambil pengajaran daripada perjalanan hidup baginda saw.

Timbalan Ketua Majlis Fatwa dan Kajian Eropah, Faisal Mawlawi berkata:

Sesungguhnya menyambut hari kelahiran Rasulullah saw adalah dibolehkan menurut syarak sekalipun tidak mempunyai asal, iaitu para sahabat, tabicin dan tabi al-tabicin yang terdiri daripada kalangan ahli agama dan dianggap sebagai sebaik-baik kurun, tidak pernah menyambutnya. Tetapi selepas itu ramai ummat Islam tidak tahu apakah sifat-sifat Rasulullah saw, bagaimanakah kehidupan baginda, bagaimana baginda hidup dalam keadaan penuh kesederhanaan, tawaduk, kasih sayang dan kasihan belas. Kecintaan terhadap Rasulullah saw yang terdapat di dalam hati kebanyakan ummat Islam selepas itu hanyalah berbentuk kulit dan luaran sahaja. Keadaan ini menyebabkan salah seorang sultan umat Islam mengumpulkan para ulama dan meminta salah seorang daripada mereka agar menulis sebuah kitab yang menyentuh kehidupan Rasulullah saw semenjak baginda dilahirkan sehinggalah kewafatan baginda dan juga menyebutkan tentang akhlak baginda yang indah. Sultan tersebut telah mengadakan sambutan besar-besaran dan itulah punca sambutan kelahiran Rasulullah saw (atau maulid Nabi saw). Kemudian para ulama menganggapnya sebagai suatu perkara yang baik dan ia terus berkekalan sehingga hari ini.

Tetapi perlu ditegaskan bahawa sambutan tersebut bukanlah terdiri daripada perkara ibadat yang disyariatkan oleh Allah swt. Tetapi ia hanya terdiri daripada perkara adat dan kebiasaan yang dicipta oleh manusia, kemudian syarak membolehkannya selagi mana tidak terdapat perkara haram di dalamnya. Oleh itu, jika terdapat perkara haram di dalamnya, maka syarak akan tetap mengharamkannya. Oleh kerana sambutan kelahiran Rasulullah saw pada asalnya merupakan peringatan terhadap sirah Rasulullah saw dan akhlak baginda oleh itu ia dibolehkan, maka insya Allah sambutan ini dengan niat tersebut akan mengandungi pahala.

Tetapi perlu diberikan perhatian terhadap beberapa penyelewengan yang terdapat di dalam beberapa buah kitab mengenai Maulid Nabi saw yang kadang-kadang sampai kepada tahap kufur. Penyelewengan-penyelewengan seumpama itu adalah haram dilakukan meskipun bukan pada Maulid Nabi. Maka, mana-mana sambutan yang mengandungi penyelewengan-penyelewengan tersebut adalah haram.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi berkata:

Terdapat beberapa jenis sambutan dan perayaan yang boleh kita perakukan dan ia memberikan manfaat kepada umat Islam. Adalah sedia dimaklumi bahawa para sahabat tidak pernah menyambut perayaan kelahiran Rasulullah saw, Hijrah, Perang Badar dan sebagainya. Kenapa?

Kerana perkara-perkara tersebut dialami oleh mereka sendiri bersama-sama dengan Rasulullah saw. Rasulullah saw sentiasa hidup di dalam jiwa mereka, tidak pernah lekang daripada pemikiran mereka. Sacd bin Abi Waqqas pernah berkata: “Kami sentiasa meriwayat dan menceritakan tentang peperangan-peperangan Rasulullah saw kepada anak-anak kami sebagaimana kami menghafalkan mereka surah-surah al-Quran.” Mereka sentiasa menceritakan kepada anak-anak mereka tentang apa yang berlaku dalam Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq dan Perang Khaibar. Mereka juga sentiasa menceritakan tentang segala yang berlaku sepanjang kehidupan Rasulullah saw kepada anak-anak mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu untuk mengadakan sambutan khusus bagi perkara-perkara tersebut.

Namun setelah berlalunya masa yang panjang, umat Islam mula melupakan perkara-perkara tersebut yang tidak lagi terdapat di dalam jiwa dan pemikiran mereka. Oleh itu, mereka perlu diingatkan semula dengan perkara-perkara tersebut. Memang benar banyak perkara-perkara bid’ah yang berlaku ketika orang ramai menyambut Maulid Nabi, tetapi saya hanya menyeru agar sambutan ini dilakukan dengan mengingatkan umat Islam kepada sirah Rasulullah saw dan risalah yang dibawa oleh baginda saw. Oleh itu, ketika menyambut hari kelahiran Rasulullah saw, saya sebenarnya menyambut kelahiran risalah Nabi Muhammad saw dan memperingatkan manusia kepada risalah dan sirah baginda saw.

Ketika sambutan hijrah pula, saya selalu mengingatkan orang ramai tentang peristiwa penting ini dan apakah pengajaran yang boleh mereka timba daripadanya. Saya juga menghubungkan mereka dengan sirah Nabi saw sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah saw itu terdapat contoh teladan yang baik bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat.” Hendaklah kita berkorban sebagaimana pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabat, sebagaimana dilakukan oleh Sayyidina Ali ketika beliau menggantikan tempat Rasulullah saw dalam peristiwa hijrah, sebagaimana dilakukan oleh Asma’ yang mendaki bukit Thur setiap hari, sedangkan bukit Thur adalah sebuah bukit yang amat sukar didaki. Hendaklah kita membuat perancangan sebagaimana dilakukan oleh baginda saw ketika hijrah. Hendaklah kita bertawakkal penuh kepada Allah swt sebagaimana tawakkal baginda saw ketika Abu Bakar berkata kepada baginda saw: “Demi Allah, wahai Rasulullah! Jika salah seorang daripada mereka memandang ke bawah, nescaya dia akan melihat kita!”, lalu baginda bersabda: “Wahai Abu Bakar! Apa pandangan engkau terhadap dua orang, tetapi Allah adalah orang yang ketiga? Janganlah berdukacita kerana Allah bersama-sama kita.”

Kita amat perlu kepada pengajaran-pengajaran tersebut. Sambutan terdapat peristiwa-peristiwa tersebut dapat memperingatkan orang ramai kepada pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa-peristiwa tersebut. Saya percaya, sambutan tersebut mengandungi kesan yang positif iaitu boleh mengikat umat Islam dengan Islam dan mengikat mereka dengan sirah Nabi saw agar mereka boleh menimba ikutan dan teladan daripadanya. Tetapi jika berlaku perkara-perkara di luar batasan syarak semasa sambutan-sambutan tersebut dilaksanakan, maka saya tidak menyetujuinya dan tidak memperakuinya sama sekali. Wallahu a’lam.

Diterjemah oleh Ibn Umar daripada Islamonline

No comments: