Friday, March 27, 2009

Membaca daripada mashaf (Quran) ketika sembahyang

Soalan:

Bolehkah membaca daripada mashaf (Quran) ketika sembahyang fardu dan sunat? Adakah boleh menghimpunkan di antara membaca daripada mashaf dan mendengar al-Quran daripada kaset serta mengikutinya semasa sembahyang fardu dan sunat?

Jawapan:

Seseorang yang sedang sembahyang boleh membaca daripada mashaf (Quran) sama ada ketika sembahyang sunat, begitu juga sembahyang fardu. Ini adalah pandangan mazhab Shafie dan qaul yang muktamad dalam mazhab Imam Ahmad. Ulama mazhab Maliki pula berpandangan ia adalah makruh. Dalil golongan yang membolehkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Aisyah RA, bahawa beliau diimami oleh hambanya yang bernama Zakwan dengan membaca daripada mashaf pada bulan Ramadan. Al-Zuhri berkata: Adalah orang-orang yang baik dari kalangan kita membaca daripada mashaf.

Manakala ulama mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa membaca daripada mashaf membatalkan sembahyang, kecuali jika orang yang sedang bersembahyang itu adalah seorang yang hafal al-Quran, dan dia membaca al-Quran tanpa menanggungnya. Oleh itu, kami berpendapat lebih baik tidak melakukannya ketika sembahyang fardu sebagai keluar daripada khilaf dan bagi meraikan sunat sembahyang yang menuntut melihat kepada tempat sujud dan mengelakkan daripada menyibukkan diri dengan melihat kepada mashaf dan membalikkan mukasurat mashaf. Ulama mazhab Hanafi mengatakan ia membatalkan sembahyang dengan dua alasan:

Pertama: Kerana ia melibatkan perbuatan yang banyak.

Kedua: Membaca daripada mashaf sama seperti membaca daripada guru.

Jika hanya membaca al-Quran daripada mashaf sudah terdapat khilaf di kalangan ulama sehingga menyebabkan sesetengah daripada mereka berpendapat bahawa ia membatalkan sembahyang, maka tidak syak lagi bahawa mendengar al-Quran lebih memberi kesan kepada kesahihan sembahyang di sisi ulama yang berpandangan bahawa membaca daripada mashaf sudah membatalkan sembahyang.

Tambahan pula, al-Quran dibaca adalah untuk ditadabburkan (diperhatikan), sedangkan untuk mentadabburkannya ketika sibuk membaca dan mendengarnya dalam masa yang sama sudah tentu tidak dapat dilakukan.

Kesimpulannya, tidak melakukan yang demikian (membaca daripada mashaf) adalah sangat dituntut, apatah lagi jika dalam sembahyang fardu, kerana pada hukum asalnya, tidak dituntut membaca ayat yang panjang ketika sembahyang fardu. Oleh itu memadai dengan hanya membaca al-Fatihah dan beberapa ayat sahaja.

Wallahu a’lam.

Sumber: http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Option=FatwaId&Id=1781

No comments: