Friday, March 27, 2009

Menjatuhkan talak dalam keadaan marah

Soalan:

Saya adalah seorang lelaki yang mempunyai tabiat panas baran dan cepat marah. Sebagaimana anda maklumi, sifat ini adalah diwarisi. Panas baran saya ini menyebabkan saya berada dalam banyak masalah, terutamanya dalam kehidupan kekeluargaan saya. Ada ketikanya, isteri saya menyebabkan saya marah melalui perkataan atau perbuatan yang dilakukannya menyebabkan berlaku pertengkaran yang berakhir dengan talak. Sedangkan saya tidak mahu menjatuhkan talak dan saya tidak terfikir tentangnya. Jika bukan kerana isteri saya pun, kerana anak-anak saya yang dilahirkannya. Tetapi dalam keadaan marah, saya lupa segala-galanya sehingga saya mengucapkan sesuatu yang tidak saya maksudkan dan melakukan sesuatu yang disifatkan oleh orang sebagai tindakan gila. Semoga Allah menghapuskan sifat kemarahan yang melampau ini, kerana ia adalah sebab kepada segala masalah yang saya hadapi.

Saya telah menjatuhkan talak sebanyak dua kali dalam keadaan marah. Lalu beberapa orang ahli ilmu telah memberikan fatwa bahawa kedua-dua talak tersebut jatuh dan meminta saya merujuk (kembali) semula kepada isteri saya. Saya menerima dan setuju untuk merujuk kembali isteri saya.

Beberapa hari lalu, sekali lagi berlaku pertengkaran di antara kami yang juga berakhir dengan talak. Pada kali ini, saya diberitahu bahawa isteri saya itu tidak halal lagi bagi saya melainkan dengan muhallil (cina buta), kerana ia adalah talak ketiga… Sedangkan ketika melafazkan talak, saya tak ubah seperti seorang yang diserang histeria lantaran tersangat marah. Pada ketika itu, saya bersedia untuk melakukan apa sahaja. Tetapi apabila perasaan marah sudah hilang, saya merasa amat menyesal. Adakah anda mempunyai penyelesaian lain selain daripada ‘muhallil’ sebagaimana yang diberitahu kepada saya? Adakah syarak membenarkan ikatan perkahwinan dan kehidupan sebuah keluarga musnah begitu sahaja hanya kerana satu perkataan tidak disengajakan yang terkeluar daripada seorang yang sedang berada dalam keadaan tidak stabil, tanpa niat dan tanpa perancangan terdahulu?

Di sini saya suka membuat sedikit penambahan selain fakta yang telah saya nyatakan di atas. Terdapat segolongan manusia di kalangan orang-orang yang hidup bergaul dengan kami mempunyai niat yang tidak baik terhadap kami. Mereka melaporkan tentang isteri saya sesuatu yang menyebabkan saya marah dan meracuni perasaan saya terhadap isteri saya dan telah menyebabkan berlakunya pertengkaran baru-baru ini. Namun selepas itu, niat buruk mereka itu terdedah dan isteri saya sebenarnya tidak bersalah, tidak sebagaimana tuduhan yang mereka lemparkan kepadanya. Kalaulah saya mengetahui tentang perkara tersebut, nescaya tidak akan berlaku apa yang telah berlaku itu… Namun itulah ketetapan Allah.

Saya berharap agar anda dapat menemui bagi saya jalan keluar daripada kemelut yang sedang saya hadapi ini. Semoga Allah memelihara dan memanjangkan umur anda.

Jawapan:

1. Mengenai perkahwinan muhallil (cina buta) sebagaimana disebutkan oleh beberapa orang kepada saudara yang bertanya, maka hukumnya adalah haram, tidak boleh dilakukan. Nabi saw telah berkata di dalam sebuah hadis yang sahih:

لعن الله المحلل والمحلل له

Maksudnya: “Allah melaknat muhallil (iaitu orang yang melakukan cina buta) dan muhallal lah (iaitu yang meminta dilakukan cina buta baginya).”[1]

Dalam satu hadis yang lain baginda menamakannya sebagai ‘kambing jantan yang dipinjam’.

Semua para sahabat dan tabi’in sepakat mengatakan hukumnya adalah haram. Ia diriwayatkan secara sahih daripada Umar, Uthman, Ali, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas dan lain-lain, sehingga Umar berkata: “Jika muhallil dan muhallal lah dibawa kepadaku, nescaya aku akan merejam mereka.”

Uthman pula berkata: “Pernikahan tidak sah melainkan pernikahan yang dilakukan dengan berkehendak melakukannya, bukan pernikahan yang dilakukan secara tipu.”

Ibn Abbas berkata: “Kedua-duanya tetap dianggap berzina meskipun kedua-duanya kekal (dalam ikatan perkahwinan tersebut) selama dua puluh tahun, kerana Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya iaitu si lelaki itu bertujuan mahu menghalalkan si perempuan itu untuk suaminya (yang asal).”

Sesetengah daripada mereka berkata: “Kami menganggap perkahwinan seumpama itu pada zaman Rasulullah saw sebagai zina.”

Oleh itu, tidak halal bagi seseorang muslim menggunakan helah yang batil menurut syarak ini, untuk menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah.

2. Manakala mengenai masalah talak ketika marah, maka para fuqahak telah berselisih tentang hukumnya, berdasarkan kecenderungan masing-masing, kerana ada yang cenderung untuk meluaskan, dan ada yang cenderung untuk menyempitkan sebab-sebab yang boleh menyebabkan jatuh talak.

Oleh kerana ia adalah masalah yang berlaku perselisihan tentang hukumnya, maka kita wajib mengkaji dalil-dalil yang digunakan oleh kedua-dua golongan tersebut, agar kita dapat memilih pendapat yang lebih rajih (kuat) dan lebih hampir kepada merealisasikan matlamat (maqasid) syarak.

3. Sebelum menjelaskan pendapat yang terpilih dalam masalah talak yang dilakukan oleh orang yang sedang marah, kami berkewajipan untuk menerangkan terlebih dahulu tentang marah yang menjadi perselisihan di antara golongan yang menyempit dan meluaskan sebab-sebab talak. Imam Ibn al-Qayyim berkata:

“Marah terbahagi kepada tiga bahagian:

Pertama: Permulaan dan pendahuluan marah yang berlaku kepada seseorang, sekira-kira akal dan fikirannya masih normal, dia masih mengetahui dan memahami serta sedar apa yang dikatakannya dan dia memaksudkan perkataan yang diucapkannya. Orang yang sebegini maka sudah pasti talak, pemerdekaan hamba dan segala akad yang dilakukannya adalah sah, terutamanya jika semua itu berlaku daripadanya selepas berulang-ulang kali dia memikirkan tentangnya.

Kedua: Seseorang yang berada di kemuncak marah, sekira-kira dia tidak tahu apa yang diucapkannya dan tidak memaksudkannya. Maka orang yang seperti ini, tidak ada perselisihan bahawa talak yang diucapkannya tidak jatuh, sebagaimana telah dijelaskan. Marah adalah hantu kepada akal. Jika marah telah menguasai akal sehingga seseorang itu tidak sedar apa yang diucapkannya, tidak diragukan lagi bahawa dalam keadaan ini tidak ada suatu pun daripada perkataannya dianggap sah dan boleh dilaksanakan. Ini adalah kerana perkataan seseorang mukallaf hanya dianggap sah dan boleh dilaksanakan jika orang yang mengatakannya sedar perkataan tersebut keluar daripadanya, serta dia memahami makna dan pengertiannya, dan dia memaksudkannya iaitu memang dia berniat dan berkehendak mengeluarkan perkataan tersebut (bukan dipaksa).

Syarat pertama iaitu mengetahui dan sedar perkataan tersebut keluar daripadanya, mengeluarkan orang yang sedang tidur, orang gila, orang yang terkena penyakit birsam atau pleurisi, orang mabuk dan juga orang yang sedang marah.

Syarat yang kedua pula iaitu memahami makna dan pengertiannya, mengeluarkan orang yang bercakap dengan sesuatu lafaz yang dia tidak mengetahui maknanya sama sekali, maka orang tersebut tidak terikat dengan kehendak lafaz yang tidak difahaminya itu.

Syarat yang ketiga iaitu memaksudkan atau berniat dan berkehendak mengeluarkan perkataan tersebut (tidak dipaksa), mengeluarkan orang yang mengucapkan sesuatu perkataan secara terpaksa, sekalipun dia mengetahui maknanya.

Ketiga: Seseorang yang berada pada peringkat marah yang pertengahan, iaitu di antara permulaan atau pendahuluan dengan kemucak marah. Dia telah melampaui dan melepasi peringkat permulaan atau pendahuluan marah, tetapi tidak sampai kepada kemuncaknya, iaitu dia belum sampai kepada tahap yang boleh dikatakan dia telah gila. Maka peringkat ini menjadi perselisihan di kalangan para ulama. Walau bagaimanapun, dalil-dalil syarak menunjukkan bahawa segala perbuatan yang dilakukan oleh orang yang berada pada peringkat ini seperti talak, pembebasan hamba dan segala akad yang memerlukan kehendak dan keredaan adalah tidak sah dan tidak terlaksana. Ia adalah cawangan kepada al-ighlaq sebagaimana ditafsirkan oleh para imam.[2]

1. Golongan yang menyempitkan dalam masalah jatuh talak yang termasuk di dalamnya talak yang dilakukan oleh orang yang sedang marah, berdalilkan kepada beberapa dalil:

a) Hadis yang diriwayatkan oleh Aishah daripada Nabi saw, sabda baginda:

لا طلاق ولا عتاق في إغلاق

Maksudnya: “Tidak ada talak dan pembebasaan hamba ketika ighlaq (marah).”[3] Menurut riwayat Abu Dawud: “… ketika ghilaq.” Beliau berkata: “Saya rasa ghilaq ialah marah.”

Hanbal berkata: “Saya mendengar Abu Abdullah (iaitu Imam Ahmad ibn Hanbal) berkata: “Ia (ighlaq) adalah marah. Sesetengah ahli bahasa berkata: “Ighlaq mempunyai dua makna. Pertama marah dan kedua sesuatu yang berlaku kepada seseorang sehingga dia tidak mengetahui atau sedar apa yang diucapkannya.”

Makna ighlaq sebagai marah juga adalah bersesuaian dengan tajuk bab yang diberikan oleh Imam al-Bukhari di dalam sahihnya. Beliau berkata: “Bab talak ketika ighlaq (marah), paksaan, mabuk dan gila.” Di sini beliau membezakan di antara talak ketika ighlaq dengan lain-lain sebab yang menunjukkan bahawa ighlaq di sisi beliau bermakna marah.

Ibn al-Qayyim berkata: “Ini adalah pendapat lebih daripada seorang daripada ulama bahasa Arab.”

b) Firman Allah swt (al-Baqarah: 225):

لاَ يُؤَاخِذُكُمْ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah).”

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan daripada Ibn Abbas, katanya: “Sumpah yang tidak diambil kira ialah sumpah yang anda lakukan ketika dalam keadaan marah.”

Diriwayatkan daripada Tawus, murid Ibn Abbas yang paling terkemuka, katanya: “Setiap sumpah yang diucapkan oleh seseorang dalam keadaan marah, maka tidak ada kaffarah padanya.” Kemudian dia berdalilkan dengan ayat di atas.

Ibn al-Qayyim berkata:

“Demikianlah salah satu pendapat dalam mazhab Maliki, iaitu sumpah yang tidak diambil kira ialah yang dilakukan ketika marah. Pendapat ini dipegang oleh ulama mazhab Maliki yang paling terkemuka dan paling afdhal iaitu al-Qadhi Ismail ibn Ishaq. Beliau berpendapat bahawa sumpah yang dilakukan oleh orang yang marah adalah tidak sah.”

c) al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi Musa a.s. yang pulang kepada kaumnya dalam keadaan marah dan berdukacita. Firman Allah swt (al-A’raf: 150):

وَأَلْقَى الأَلْوَاحَ وَأَخَذَ بِرَأْسِ أَخِيهِ يَجُرُّهُ إِلَيْهِ

Maksudnya: “… Dan ia meletakkan lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya...”

Dalam ayat di atas, Nabi Musa a.s. telah mencampakkan papan-papan yang ditulis oleh Allah swt dan baginda juga telah bertindak keras terhadap Harun, seorang nabi dan saudaranya sendiri hanya kerana dia berada dalam keadaan marah. Lalu Allah swt menerima alasan tersebut dan tidak menegur baginda terhadap tindakan itu, kerana ia berpunca daripada perasaan marah yang terkeluar daripada kekuasaan dan kehendaknya sendiri.

d) Ini dijelaskan lagi oleh ayat lain yang terdapat di dalam surah yang sama, iaitu firman Allah (al-A’raf: 154):

وَلَمَّا سَكَتَ عَنْ مُوسَى الْغَضَبُ أَخَذَ الأَلْوَاحَ

Maksudnya: “Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil lauh-lauh Taurat…”

Dalam ayat di atas, Allah swt menggunakan perkataan ‘reda’ bagi menunjukkan bahawa perasaan marah mempunyai kuasa memerintah dan melarang yang berkata kepada orang yang sedang marah ‘lakukan’ atau ‘jangan lakukan’, lalu orang yang sedang dikuasai perasaan marah menurut sahaja perintah tersebut. Maka orang yang marah adalah lebih utama untuk diberikan keuzuran daripada orang yang dipaksa.

e) Firman Allah swt (Yunus: 11):

وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجَالَهُمْ بِالْخَيْرِ لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ

Maksudnya: “Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka.”

Diriwayatkan daripada Mujahid ketika mentafsirkan ayat di atas: “Ia adalah kata-kata atau doa seseorang terhadap anak dan hartanya ketika dia marah: “Ya Allah, janganlah Engkau memberkatinya dan laknatilah ia!” Maka jika Allah menyegerakan perkenanNya terhadap permintaan tersebut, sebagaimana Allah menyegerakan perkenanNya terhadap permintaan kebaikan, nescaya permintaan tersebut sebenarnya akan memusnahkan mereka. Ibn al-Qayyim berkata: “Maka marah boleh menjadi sesuatu yang menghalang maqbulnya doa, sedangkan kesan doa iaitu pemaqbulannya adalah lebih segera daripada kesan sebab terhadap sesuatu hukum. Ini kerana orang yang sedang marah tidak memaksudkan di dalam hatinya apa yang dilakukannya.”

f) Perasaan marah menghalang seseorang daripada mempunyai pemikiran yang sejahtera dan normal. Ia juga mengganggu seseorang daripada mengetahui sesuatu perkara secara tepat dan memutuskan tindakan yang sesuai. Oleh itu, Rasulullah saw bersabda di dalam sebuah hadis yang sahih bahawa “seseorang qadhi (hakim) tidak boleh membuat sesuatu keputusan ketika dalam keadaan marah”. Talak adalah hukum yang dikeluarkan oleh seorang suami terhadap isterinya, maka tidak boleh dia mengeluarkannya ketika dalam keadaan marah. Jika berlaku juga, maka sepatutnya hukum tersebut tidak diambil kira dan tidak dikira sah, sebagai langkah melindungi isteri dan juga keluarga.

g) Kebanyakan dalil yang kita pegang dalam masalah tidak jatuh talak yang dilakukan oleh orang yang mabuk juga terpakai kepada orang yang marah, bahkan orang yang marah lebih teruk keadaannya daripada orang yang mabuk, kerana orang yang mabuk tidak membunuh dirinya dan tidak mencampakkan anaknya daripada tempat tinggi, tetapi orang yang marah mungkin melakukannya.

Kaedah syarak mengatakan bahawa al-‘awarid al-nafsiyyah (sesuatu yang mendatang berlaku kepada seseorang) mempunyai kesannya tersendiri terhadap sesuatu perkataan yang diucapkannya. Kesan itu sama ada menyebabkan perkataan itu ditinggalkan atau diterima, diamalkan atau sebaliknya dibatalkan. Ia adalah seperti lupa, tersalah, dipaksa, mabuk, gila, takut, sedih, lalai atau tidak sedar. Oleh itu, mana-mana perkataan yang lahir daripada seseorang yang sedang mengalami mana-mana keadaan di atas hendaklah tidak diambil kira, tidak sebagaimana jika perkataan tersebut lahir daripada orang lain, dan diberikan keuzuran yang tidak diberikan kepada orang lain, kerana perkataan tersebut lahir daripadanya dalam keadaan dia tidak memaksudkannya dan tidak menghendakinya, juga kerana wujud penyebab yang menyebabkannya mengeluarkan perkataan tersebut.

Oleh itu, ada di kalangan sahabat bertanya kepada seorang lelaki yang melakukan nazar: “Adakah nazar tersebut engkau ucapkan ketika reda (tidak marah) atau sebaliknya ketika marah?” Jika nazar tersebut diucapkan ketika marah, maka para sahabat akan memerintahkan agar dia membayar kaffarah sumpah, kerana mereka mengatakan bahawa marah yang bertujuan untuk menggesa atau melarang daripada melakukan sesuatu adalah sama dengan sumpah, bukan nazar yang tujuannya untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah… Sedangkan Allah menjadikan marah sebagai penghalang daripada memaqbulkan doa orang yang berdoa agar diri dan keluarganya dilaknat… Allah juga menjadikan paksaan sebagai penghalang daripada kufurnya orang yang mengucapkan kalimah kufur… Allah juga menjadikan tersalah dan lupa sebagai penghalang daripada diambilkira perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang.

Kemarahan yang mendatangi seseorang mungkin lebih kuat daripada perkara-perkara mendatang yang lain. Jika seseorang itu adalah salah seorang daripada golongan di atas, maka perkataannya tidak diambil kira kerana dia tidak memaksudkannya. Jika kedudukan orang yang marah -yang tidak memaksudkan apa yang diucapkannya- tidak lebih utama untuk diberikan keuzuran daripada golongan-golongan yang lain, maka kedudukannya tidaklah lebih rendah daripada mereka.

Setelah kami mentarjihkan pendapat yang mengatakan bahawa talak tidak jatuh jika dilakukan dalam keadaan marah berdasarkan dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang diberikan, maka wajib di sini kami memberikan neraca yang boleh mengenalpasti dan menentukan keadaan marah yang tidak menjatuhkan talak tersebut, kerana jika perkara ini tidak dijelaskan serta tidak diberikan panduan dan kaedah, maka ia akan menyebabkan berlaku kacau bilau dan keadaan huru hara.

Oleh itu, kita dapati Imam Ibn al-Qayyim dan sebelumnya Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah cenderung untuk menjadikan ketiadaan maksud (niat) dan ketiadaan ilmu (tahu dan sedar terhadap apa yang diucapkan) sebagai neraca. Oleh itu menurut mereka, sesiapa yang tidak bermaksud untuk menjatuhkan talak dan dia tidak sedar atau tidak tahu apa yang diucapkan, maka dia dianggap berada dalam keadaan ighlaq (marah) yang menyebabkan talaknya tidak jatuh.

Tetapi seorang ulama mazhab Hanafi iaitu Syeikh Ibn ‘Abidin di dalam hashiyahnya yang masyhur terhadap kitab al-Durr al-Mukhtar, selepas beliau menukilkan perkataan Ibn al-Qayyim yang membahagikan keadaan marah kepada tiga bahagian, sebagaimana dinyatakannya di dalam risalahnya tentang hukum talak yang dilakukan oleh orang yang sedang marah, dan ketika dia meringkaskan Sharh al-Ghayah dalam mazhab Hanbali, berkata: “Diketahui dan jelas bahawa tidak jatuhnya talak yang dilakukan oleh orang yang sedang marah -begitu juga orang yang kebingungan atau terkejut- tidak mesti kerana dia tidak mengetahui apa yang diucapkannya, bahkan memadai apabila berat sangka mengatakan bahawa dia tidak sedar atau berlaku gangguan di dalam ucapan dan perbuatannya sehingga dia bertindak di luar kebiasaannya, lalu tidak dapat dibezakan antara sesuatu yang dilakukannya secara serius atau sebaliknya. Inilah yang menjadi tempat pergantungan hukum (sama ada talak itu jatuh atau tidak) yang sepatutnya menjadi pegangan. Oleh itu, selagi mana seseorang berada dalam keadaan yang menunjukkan lebih banyak berlaku gangguan di dalam perkataan dan perbuatannya, maka perkataannya tidak boleh diambil kira, sekalipun dia sedar apa yang diucapkannya dan memaksudkannya. Sedar dan tahunya itu tidak boleh diambil kira kerana ia berlaku bukan melalui pengetahuan yang sahih, sebagaimana tidak boleh diambil kira sedar dan tahunya seorang kanak-kanak yang telah berakal.”[4]

Bagi saya, apa yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abidin adalah neraca yang tepat, benar dan jitu. Maka marah yang diambil kira ialah marah yang menjadikan seseorang kehilangan kestabilan di dalam ucapan dan tindakannya, sekira-kira dia mengucapkan atau melakukan sesuatu yang tidak menjadi kebiasaannya ketika dia berada dalam keadaan biasa, tenang dan tidak marah.

Saya suka menambah satu lagi tanda lain yang boleh membezakan marah yang bersangatan dengan sebaliknya. Ia telah diingatkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitab Zad al-Ma’ad. Tanda itu ialah apabila seseorang menyesal terhadap apa yang terkeluar daripadanya setelah perasaan marah itu hilang. Penyesalannya dengan semata-mata hilang perasaan marah itu menunjukkan bahawa dia tidak bermaksud untuk menjatuhkan talak.

Wallahu a’lam.
[1]al-Tarmizi mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan sahih.
[2]Ighathat al-Lahfan, hlm. 14.
[3]Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan al-Hakim dan beliau mengatakan hadis ini adalah sahih berdasarkan syarat Muslim.
al-Hakim mengeluarkan hadis ini daripada Aishah melalui dua jalan dan beliau berkata: “Hadis ini adalah sahih berdasarkan syarat Muslim.” Tetapi al-Zahabi menolaknya dengan mengatakan bahawa pada salah satu jalannya terdapat Muhammad ibn ‘Ubayd ibn Abi Salih yang tidak dijadikan hujjah oleh Muslim dan didaifkan oleh Abu Hatim. Manakala pada jalan satu lagi terdapat Nu’aym ibn Hammad, perawi yang mempunyai hadis-hadis mungkar.
Saya berkata: Manakala Muhammad ibn ‘Ubayd maka Ibn Hibban menyebutkannya daripada kalangan orang-orang yang thiqah sebagaimana terdapat di dalam al-Tahzib, maka dia bukanlah seorang yang disepakati sebagai daif, terutamanya ketika Abu Hatim tidak menerangkan sebab kedaifannya.
Manakala Nu’aym ibn Hammad al-Khuza’i maka al-Bukari, Muslim, Abu Dawud, al-Tarmizi dan Ibn Majah telah mengeluarkan hadis daripadanya. Dia adalah dari kalangan perawi yang menyebabkan al-Bukhari dikritik. al-Hafiz berkata di dalam Muqaddimah Fath al-Bari mengenainya: “Dia adalah seorang yang masyhur dari kalangan al-huffaz yang hebat. al-Bukhari menemuinya, tetapi al-Bukhari tidak mengeluarkan hadis daripadanya kecuali pada satu atau dua tempat sahaja. al-Bukhari juga telah memberikan beberapa komentar terhadapnya. Muslim juga meriwayatkan hadis baginya pada satu tempat di dalam Muqaddimah, begitu juga dengan ashab al-sunan kecuali al-Nasa’ie. Imam Ahmad pula mengatakan dia adalah thiqah. Ibn Mu’in berkata: “Beliau adalah antara orang yang benar, kecuali dia kadang-kadang menyangka sesuatu yang menyebabkan dia melakukan kesalahan dalam perkara tersebut.” al-‘Ijli berkata: “Beliau adalah seorang yang thiqah.” Abu Hatim berkata: “Beliau adalah seorang yang sangat benar (saduq).” al-Nasa’ie berkata: “Beliau adalah seorang yang dha’if.” Abu Bishr al-Dulabi pula menisbahkannya kepada mereka cipta hadis (hadis maudu’). Namun kenyataan Abu Bishr dijawab oleh Ibn ‘Adiyy dengan mengatakan bahawa Abu Bishr mempunyai perasaan fanatik terhadap Nu’aym, kerana beliau (Abu Bishr) adalah seorang yang keras terhadap golongan ahl al-ra’y., dan inilah yang benar, wallahu a’lam. (Daripada Hady al-Sari, jil. 2, hlm. 217) Dikeluarkan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Sunan (jil. 7, hlm. 357) melalui jalan ketiga daripada Aishah, bersalahan dengan apa yang disebutkan oleh Ibn Hajar di dalam al-Talkhis.
Dengan ini jelaslah bahawa kedudukan hadis ini dengan segala jalannya paling kurang pun ia berada pada kedudukan hadis sahih sebagaimana didakwa oleh al-Hakim dan turut diperakui oleh Ibn al-Qayyim serta lainnya. Namun jika kedudukannya lebih rendah daripada itu sekalipun, maka tidaklah kepada kedudukan yang lebih rendah daripada kedudukan hadis hasan yang masih boleh dijadikan hujjah. Abu Dawud pula mendiamkan diri mengenai hadis ini. al-Bayhaqi pula berhujjah dengannya bagi mazhab Shafie yang mengatakan bahawa talak yang dilakukan oleh orang yang dipaksa tidak sah berdasarkan pentafsiran perkataan ighlaq sebagai paksaan, yang tidak menafikan pentafsirannya sebagai marah.
[4]Hashiyat Ibn ‘Abidin, jil. 2, hlm. 587, cetakan Istanbul.

No comments: