Friday, March 27, 2009

ADAKAH MELABUHKAN PAKAIAN HUKUMNYA HARAM?

Soalan:

Apakah hukum melabuhkan pakaian? Saya dengar hukumnya adalah haram secara mutlak (dalam apa jua keadaan), tetapi saya melakukannya tanpa mempunyai niat apa-apa dan kadang-kadang pakaian saya memang telah sedia labuh.

Muhammad, Jordan

Jawapan:

Terdapat beberapa hadis menjelaskan bahawa labuh pakaian seseorang yang beriman adalah di atas buku lali. Pakaian yang lebih labuh daripada itu maka tempatnya dalam neraka. Sesetengah ulama memahami daripada hadis-hadis tersebut bahawa berpakaian labuh (melebihi buku lali) adalah dilarang sama sekali, sama ada orang yang memakainya mempunyai niat untuk menunjuk-nunjuk atau sebaliknya. Tetapi sesetengah ulama pengkaji lain, antaranya Imam al-Nawawi, Ibn Hajar, al-Shawkani, al-‘Iraqi, bahkan majoriti ulama lainnya berpendapat bahawa pengharaman hanya khusus bagi sesiapa yang melakukan demikian dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Manakala sesiapa yang tidak terlintas dalam fikirannya untuk menunjuk-nunjuk, maka dia tidak berdosa. Walau bagaimanapun memakai pakaian yang tidak labuh sehingga melebihi buku lali adalah sunnah.

al-‘Iraqi berkata di dalam kitab Tarh al-Tathrib:

Disunatkan agar labuh pakaian seseorang hanya ke bahagian tengah betis. Dibolehkan tanpa makruh pakaian itu labuh sehingga buku lali. Jika lebih daripada buku lali, maka ia dilarang. Jika labuh itu kerana mahu menunjuk-nunjuk, hukumnya haram, tetapi jika sebaliknya, maka ia adalah larangan tanzih (pembersihan) sahaja.

Hadis-hadis yang menyebutkan bahawa pakaian yang labuh melebihi buku lali adalah dalam neraka, maka yang dimaksudkan dengannya ialah jika ia dipakai dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Kerana hadis-hadis tersebut adalah mutlak, maka ia wajib ditafsirkan berdasarkan hadis-hadis yang mengaitkannya dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Maksudnya, larangan melabuhkan pakaian melebihi buku lali dalam hadis-hadis tersebut tidak menentukan sebab perbuatan tersebut dilakukan, tetapi kita dapati dalam hadis lain ia dikaitkan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Oleh itu, wajib ditafsirkan hadis yang mutlak itu dengan hadis yang mengaitkannya dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Ada di kalangan ulama berpendapat melabuhkan pakaian melebihi buku lali itu sendiri sudah merupakan perbuatan menunjuk-nunjuk (tanpa memerlukan kepada niat), oleh itu hukumnya haram. Tidak mungkin ada seseorang yang melabuhkan pakaiannya melainkan niatnya atau tujuannya adalah untuk menunjuk-nunjuk. Jika ada yang mendakwa dia melabuhkan pakaiannya kerana kebiasaan, bukan untuk menunjuk-nunjuk, dia sebenarnya dusta. Ini adalah pendapat Ibn al-‘Arabi di dalam Sharh Sunan al-Tarmizi. Pendapat ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasa’i dan al-Tarmizi (dan al-Tarmizi mensahihkannya), daripada hadis Jabir bin Salim daripada sebuah hadis yang panjang, di dalamnya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Angkatlah pakaian engkau sehingga pertengahan betis. Jika tidak, maka hingga ke buku lali. Awaslah engkau daripada melabuhkan pakaian, kerana ia adalah menunjuk-nunjuk dan Allah tidak suka perbuatan menunjuk-nunjuk.” Dalam hadis ini, Rasulullah saw menjadikan perbuatan melabuhkan pakaian itu sendiri sebagai menunjuk-nunjuk.

Para ulama telah menolak pendapat Ibn al-‘Arabi di atas. al-‘Iraqi berkata: Pendapat Ibn al-'Arabi tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan hadis-hadis yang mengaitkan larangan melabuhkan pakaian dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Ini menunjukkan bahawa terdapat dua jenis melabuhkan pakaian. Ada melabuhkan pakaian kerana tujuan menunjuk-nunjuk, ada bukan dengan tujuan tersebut. Jika kita tidak membezakan antara kedua-duanya, maka kita telah tidak mengguna pakai hadis.

al-Shawkani berkata: Kita mesti mentafsirkan sabda Rasulullah saw “kerana ia adalah menunjuk-nunjuk” di dalam hadis Jabir bahawa pada kebiasaannya orang yang melakukan perbuatan tersebut adalah kerana menunjuk-nunjuk. Jadi amaran yang terdapat di dalam hadis itu tertuju hanya kepada orang yang melakukan demikian (melabuhkan pakaiannya) kerana menunjuk-nunjuk. Pendapat yang mengatakan bahawa setiap perbuatan melabuhkan pakaian sehingga melebihi buku lali adalah dianggap perbuatan menunjuk-nunjuk ditolak berdasarkan logik kerana setiap orang tahu bahawa ada di kalangan manusia yang melabuhkan pakaiannya tanpa terdetik mahu menunjuk-nunjuk di dalam hatinya sedikitpun. Pendapat tersebut juga ditolak oleh sabda Nabi saw kepada Abu Bakar, “Sesungguhnya engkau bukan terdiri daripada mereka yang melakukannya kerana mahu menunjuk-nunjuk.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Jama‘ah. Di dalamnya Nabi saw bersabda, “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya, maka Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat.” Lalu Abu Bakar berkata, “Sesungguhnya salah satu hujung pakaian saya terseleret kecuali jika saya sentiasa menjaganya.” Lalu Rasulullah saw berkata, “Sesungguhnya engkau bukan terdiri daripada mereka yang melakukannya kerana mahu menunjuk-nunjuk.” Dalam hadis ini dinyatakan secara jelas bahawa sandaran hukum haram adalah kepada perbuatan menunjuk-nunjuk dan bahawa perbuatan melabuhkan pakaian kadang-kadang kerana mahu menunjuk-nunjuk dan kadang-kadang tidak dengan tujuan tersebut.

Ibn Muflih berkata di dalam al-Adab al-Shar‘iyyah: Ibn Tamim berkata: Menurut sunnah, hujung kain, baju dan seumpamanya hendaklah berada antara paras pertengahan betis dan buku lali, kerana ini akan mengelakkan betis daripada kemudaratan musim panas, atau musim dingin, dan orang yang berjalan itu sendiri boleh berjalan dalam keadaan selesa bukan seperti orang yang diikat. Manakala hujung pakaian yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada yang dinyatakan, maka hukumnya adalah makruh sebagaimana dinaskan oleh Imam Ahmad.

Imam Ahmad berkata di dalam riwayat Hanbal: Mengheret kain jika tidak bertujuan menunjuk-nunjuk maka tidak mengapa. Pendapat ini dipegang oleh ramai dari kalangan ulama mazhab (Hanbali).

Imam Ahmad juga berkata berkenaan hadis yang bermaksud: “Pakaian yang melebihi buku lali di dalam neraka, maka tidak boleh mengheret sedikitpun pakaian”, bahawa zahir daripada hadis ini menunjukkan hukum melabuhkan pakaian melebihi buku lali adalah haram. Inilah ketiga-tiga riwayat hadis berkenaan masalah ini.

Manakala diriwayatkan daripada Imam al-Shafici dan ulama mazhabnya bahawa hukum perbuatan melabuhkan pakaian melebihi buku lali adalah makruh.

Pengarang kitab al-Muhit daripada mazhab Hanafi meriwayatkan bahawa Abu Hanifah memakai selendang yang mahal bernilai 400 dinar. Beliau melabuhkannya sehingga terheret di atas tanah. Lalu ada orang bertanya kepada beliau: “Bukankah kita dilarang berbuat begini?” Beliau menjawab: “Larangan tersebut hanya kepada orang-orang yang melakukannya kerana menunjuk-nunjuk, dan saya bukan dari kalangan mereka.”

Manakala Shaykh Taqiyyuddin pula memilih pendapat yang mengatakan hukumnya tidak haram, tetapi beliau tidak pula mengatakan makruh atau tidak.

Bahkan Abu Bakar cAbd al-cAziz berkata: “Disunatkan agar labuh pakaian lelaki sampai ke buku lali dan tali pengikat kasutnya.”

al-Shawkani berkata: “Hadis-hadis menunjukkan bahawa mengheret pakaian di atas tanah dengan tujuan menunjuk-nunjuk hukumnya adalah haram. Ini bertepatan dengan hadis nabi yang bermaksud: “Pakaian yang melebihi buku lali di dalam neraka.”

Menurut zahirnya juga menunjukkan bahawa mengheret pakaian bukan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk tidak termasuk dalam ancaman tersebut. Ibn cAbd al-Barr berkata: “Hadis tersebut bermaksud bahawa sesiapa yang mengheret pakaiannya di atas tanah (memakai pakaian yang labuh) bukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk maka dia tidak dikenakan ancaman tersebut (masuk neraka), namun ia tetap tercela.”

Imam al-Nawawi berkata: “Perbuatan tersebut adalah makruh sebagaimana diterangkan oleh Imam al-Shafici. al-Buwayti berkata di dalam kitab al-Mukhtasar diriwayatkan daripada Imam al-Shafie: “Tidak boleh melabuhkan pakaian di dalam dan di luar sembahyang dengan tujuan menunjuk-nunjuk, jika tidak dengan tujuan menunjuk-nunjuk maka larangannya adalah lebih ringan, berdasarkan sabda Nabi saw kepada Abu Bakar yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau bukan terdiri daripada mereka yang melakukannya kerana mahu menunjuk-nunjuk”, ketika baginda melihat Abu Bakar sentiasa mengangkat pakaiannya daripada terkena tanah.

Dengan ini berlakulah penggunaan kesemua hadis yang ada dalam masalah ini tanpa mensia-siakan syarat ‘menunjuk-nunjuk’ sebagaimana dinyatakan dengan jelas di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Terdapat beberapa orang ulama muta’akhirin (terkemudian) menulis satu risalah panjang mengatakan dengan tegas bahawa hukum melabuhkan pakaian melebihi buku lali adalah haram secara mutlak. Dalil paling besar yang mereka pegang ialah hadis Jabir.

Manakala hadis Abu Umamah yang diriwayatkan oleh al-Tabarani katanya: “Ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah saw, tiba-tiba kami didatangi oleh cAmru ibn Zurarah al-Ansari dengan memakai kain dan selendang yang labuh. Lalu Rasulullah saw memegang hujung kain baginda sendiri dan berada dalam keadaan tawaduk kepada Allah seraya bersabda: “Aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu…” lalu didengari oleh cAmru lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya betisku amat kecil.” Rasulullah bersabda: “Wahai cAmru! Sesungguhnya Allah swt telah menjadikan segala sesuatu dalam keadaan baik. Wahai cAmru! Sesungguhnya Allah swt tidak suka kepada orang yang melabuhkan pakaiannya.” Hadis ini diriwayatkan oleh para perawi yang thiqah. Zahir daripada hadis ini ialah bahawa cAmru tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Paling maksimum, hadis ini hanya menjelaskan bahawa Allah tidak suka kepada orang yang melabuhkan pakaiannya. Manakala hadis Abu Bakar mengaitkan larangan melabuhkan pakaian dengan sebab menunjuk-nunjuk, sedang mentafsirkan hadis yang mutlak dengan hadis yang mengaitkan adalah wajib. Manakala zahir hadis cAmru yang menunjukkan bahawa beliau tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk maka zahir tersebut tidak boleh digunakan untuk menolak hadis-hadis yang sahih.

Wallahu a’lam.

Sumber: Islam Online
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528619292

No comments: