Friday, March 27, 2009

Apakah yang perlu dilakukan terhadap anggota yang terpisah daripada anggota badan?

Soalan: Doktor telah memotong betis seorang pesakit. Apakah yang patut kami lakukan terhadap betis tersebut?

Jawapan oleh: Dr Hussamuddin bin Musa ‘Affanah

Jika sesuatu anggota dipotong daripada badan seseorang yang masih hidup seperti tangan, kaki atau sebagainya, maka sepatutnya anggota yang dipotong itu ditanam sama ada di tanah perkuburan atau mana-mana tanah yang suci. Tidak boleh mencampakkannya bersama-sama dengan sampah sarap, kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah swt sama ada ketika hidup mahu pun sesudah mati. Begitu juga dengan anggota badannya yang dipotong, maka wajib dihormati. Firman Allah swt dalam surah al-Isra’ ayat 70:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي ءَادَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Tetapi anggota yang dipotong itu tidak perlu dibasuh atau dimandikan dan tidak disembahyangkan. Memadai dengan dibalut dengan sehelai kain kemudian dikebumikan atau ditanam.

Sesetengah ulama telah menyebutkan bahawa setiap anggota yang terpisah daripada anggota manusia yang masih hidup seperti rambut, kuku atau darah disunatkan agar ia ditanam. Beberapa hadis yang tidak sabit kesahihannya telah diriwayatkan daripada Rasulullah saw berkenaan dengan perkara tersebut.

Syeikh Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: “Disunatkan menanam kuku yang dipotong dan rambut yang digunting berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Khallal daripada Mayl binti Mashrah al-‘Ashariyyah, katanya: “Aku melihat ayahku memotong kukunya dan menanamnya dan dia berkata: “Aku melihat Rasulullah saw melakukan demikian.” Juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Juraij, daripada Nabi saw bahawa baginda suka menanam darah.

Mehna (salah seorang sahabat Imam Ahmad bin Hanbal) berkata: “Aku bertanya Imam Ahmad tentang seseorang yang memotong rambut dan kukunya, adakah perlu ditanamnya atau oleh dibuangnya begitu sahaja?” Beliau menjawab: “Hendaklah ditanamnya.” Aku bertanya lagi: “Adakah sampai kepadamu sesuatu hadis berkenaannya?” Beliau menjawab: “Ibn Umar melakukannya (menanamnya).” Aku juga meriwayatkan satu hadis daripada Nabi saw bahawa baginda memerintahkan agar rambut dan kuku ditanam dan baginda berkata: “Agar ia tidak dipermain-mainkan oleh ahli sihir di kalangan anak Adam.”

Imam Nawawi yang bermazhab Shafie pula berkata: “Sunat menanam dan menimbus di dalam tanah segala rambut serta kuku yang dipotong sebagaimana diriwayatkan perbuatan tersebut dilakukan oleh Ibn Umar dan disepakati oleh para ulama mazhab kami.”

Imam Nawawi juga berkata: “al-Mutawalli menukilkan adalah dipersetujui bahawa anggota yang terpisah itu tidak perlu dimandi dan disembahyangkan. Beliau berkata: “Tiada perselisihan bahawa tangan yang dipotong kerana hukuman mencuri dan qisas tidak wajib dimandi dan disembahyangkan. Memadai dengan hanya dibalut dengan secebis kain dan ditanam. Begitu juga dengan kuku dan rambut yang dipotong daripada orang yang masih hidup. Maka ia tidak perlu disembahyang, tetapi sunat ditanam.”

Imam Nawawi berkata juga ditempat lain: “Pengkebumian tidak tertentu bagi anggota orang yang diketahui telah meninggal dunia sahaja, bahkan setiap yang terpisah daripada manusia yang hidup sama ada anggota badan, rambut, bulu, kuku dan lain-lain anggota badan, disunatkan agar ditanam. Begitu juga sunat menanam janin yang keguguran daripada kandungan wanita. Begitu juga sunat menanam darah berbekam kerana ia adalah darah yang keluar daripada badan manusia.”

Kesimpulannya, anggota yang terpisah daripada manusia yang masih hidup tidak perlu disembahyangkan, tetapi hendaklah ditanam. Tidak boleh juga mencampakkannya bersama-sama dengan sampah sarap dan tidak perlu disimpan untuk ditanam bersama-sama dengan kematian pemiliknya.

Wallahu a’lam.

Sumber: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528621330

No comments: